Perpaduan merujuk
kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam sesebuah negara. Sudah
terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020.
Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang
bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah sesuatu isu yang baharu di negara
kita bahkan telah menjadi fokus perbincangan dalam media massa dan buah mulut
dalam kalangan rakyat. Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara
kita yang pesat sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan
pergolakan politik dalaman. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka
langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan
secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi.
Peranan ibu bapa dan
barisan pendidik merupakan wahana dalam membina generasi masa hadapan yang
mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam institusi keluarga, ibu bapa
merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu menunjukkan teladan baik.
Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan melayani jiran setangga dengan
mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan agama. Maka, sejak usia muda anak akan
terpengaruh untuk meneladani sikap ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak
kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di
sekolah juga memainkan peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam
sanubari anak murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik
kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat yang
berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita pastikan
ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat memupuk
nilai perpaduan dalam generasi muda.
Selain itu, pada
masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan perpaduan kaum di
negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong, masyarakat dapat
memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing untuk membersihkan dan
mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman. Aktiviti sebegini mampu
menjamin keceriaan kawasan kediaman masyarakat dan kah langkah memupuk perpaduanjuga
membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran tetangga. Pada masa yang
sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di negara kita. Rumah terbuka
merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang efektif kerana dapat mendedahkan
masyarakat kepada keunikan adat resam kaum lain. Secara tidak langsung,
persefahaman antara kaum dapat diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku
dapat dijalin. Dengan perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran
yang paling berkesan untuk memupuk perpaduan kaum.
Pada realitinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa merupakan rangkaian perhubungan
yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan
perpaduan kaum, media massa seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk
menyebarkan mesej dan informasi positif tentang kepentingan bersatu padu.
Sebagai analoginya, stesen penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang
berunsur perpaduan dan mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran
program sudah pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat
secara berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam
program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih mudah
melalui peranan media massa.
Dalam sistem
perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan bersuara. Namun demikian,
rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan
provokasi kaum. Rakyat negara kita haruslah mengawal nafsu diri dan tidak
mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini
dapat mengelakkan muhibah dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata
pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat
sendiri tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum
di negara kita.
No comments:
Post a Comment