Thursday 30 March 2017

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK AMALAN GOTONG-ROYONG

     Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.

     Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus dipuji.

     Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.

     Tambahan pula, kerajaan Menyedari akan hakikat budaya tersebut makin dilupakan dari hari ke sehari, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menilhamkan Program My Beautiful Malaysia di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan 8 (National Blue Ocean Strategy 8). Program My Beautiful Malaysiamelibatkan 1juta sukarelawan yang dijadikan satu pelantar dan titik permulaan untuk menyatu dan menggerakkan seluruh tenaga belia yang lebih prihatin dan ikhlas melalui aktiviti gotong-royong secara sukarela dalam usaha mengindahkan dan membersihkan kawasan yang tidak terpelihara seperti pusat pelancongan, kawasan perumahan, taman rekreasi dan sebagainya.

15 comments: