Thursday 30 March 2017

KESILAPAN MASA KINI

     Setelah puluhan tahun berlalu, gotong-royong kian tandus fungsinya di kalangan masyarakat. Masyarakat masa kini nampaknya lebih individualistik dan materialistik. Mereka bersikap menyendiri lalu menganggap bahawa segala apa yang berlaku di sekeliling mereka tidak akan mempengaruhi perjalanan kehidupan seharian mereka. Mereka mula mencari wang dan pangkat kononnya untuk memperoleh keselesaan dalam kehidupan.”Ada kerja, ada gaji” seakan-akan menjadi prinsip hidup masyarakat moden hari ini. Masyarakat moden kini juga kian pudar nilai-nilai kejiranannya. Ramai juga yang terlalu sibuk dengan urusan pejabat. Tidak mustahil, mereka tidak mengetahui nama jirannya apatah lagi mengenalinya dengan lebih mendalam.

      Ketidakfungsian badan-badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan, dikatakan punca gejala ini berlaku. Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk pembangunan masyarakat malahan telah terdapat sebuah kementerian untuk hal ehwal masyarakat iaitu Kemeterian Perpaduan Negara dan Kebajikan Masyarakat. Malangnya, perbelanjaan itu tidak sampai kepada golongan sasaran. Agensi-agensi ini kurang mengambil usaha untuk membantu masyarakat dalam perkara yang melibatkan kerjasama segenap lapisan masyarakat.


     Nasib yang sama turut menimpa NGO yang kini berjumlah sekitar 40,000 buah. Mereka dipercayai hanya bertindak seperti “melepaskan batuk di tangga”. Mereka tidak gemar turun padang, berjumpa dan bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk menolong menyelesaikan masalah mereka. Malahan, ada juga NGO yang dipergunakan sebagai “batu loncatan” oleh pihak tertentu untuk meraih kepentingan peribadi. 

No comments:

Post a Comment